Menurut artikel yang
saya cari, didapati seorang murid tahun tiga yang menghidap penyakit saraf otak
telah meninggal dunia selepas beberapa jam dirotan di bahagian tangan oleh
gurunya. Oleh kerana kes ini telah melibatkan nyawa seorang kanak, jadi pihak polis
telah segera mengambil tindakan yang selanjutnya untuk menyiasat kes ini. Di
sini, kita boleh melihat bahawa guru tersebut sebenarnya tidak tahu bahawa
murid tersebut menghidap penyakit yang begitu serius. Jika beliau tahu, kes
begini tidak mungkin akan berlaku atau dapat dikurangkan. Selain itu, saya
berfikir bahawa ia juga ada berkaitan dengan ibu bapa. Jikalau ibu bapa
mengambil berat terhadap anaknya dengan membawanya menjalankan pemeriksaan
badan, maka mereka akan mengetahui kesihatan anak mereka lalu memberitahu guru
untuk mengambil perhatian yang banyak terhadap anak mereka. Di sekolah, kita
boleh tahu bahawa kebarangkalian guru menggunakan rotan adalah untuk memberi
pelajar satu amaran supaya mereka dapat berdisiplin baik atau mendapat markah yang
lebih baik pada peperiksaan atau ujian kecil yang akan datang. Setakat yang
saya tahu, kebanyakan guru tidak mahu menggunakan rotan di dalam kelas kerana
mereka tahu bahawa merotan akan membawa kesan yang tidak baik dan akan
menjatuhkan imej sendiri. Tetapi pelajar pada masa kini telah menyebabkan
mereka terpaksa menggunakan rotan untuk mengurangkan masalah disiplin yang
selalu dikemukakan oleh setiap pihak.
Menurut kamus
dewan edisi keempat, merotan membawa maksud memukul atau menyebat dengan rotan
sebagai satu hukuman terhadap pesalah.Antara kesalahan yang boleh disabitkan
dengan hukuman merotan di sekolah ialah ponteng sekolah, membuli, melawan guru,
dan lain-lain lagi. Apabila ditinjau daripada sudut pengertian dalam alam
persekolahan, merotan adalah perbuatan sama ada menimbulkan kesan yang parah
ataupun tidak dan sama ada dilakukan secara adil ataupun tidak oleh seseorang
guru. Guru itu tidak kiralah sama ada guru disiplin, pengetua ataupun guru yang
diberi tanggungjawab dalam menjalankan tugas ‘merotan’ ke atas tubuh badan
pelajar yang menerima hukuman akibat perlakuan yang menyalahi
peraturan-peraturan sekolah.
Sebenarnya, hukuman
yang berbentuk kekerasan termasuk merotan pelajar telah dilarang sejak tahun
1983. Sejak itu, guru tidak boleh lagi merotan pelajar yang
menghadapi masalah disiplin. Sesetengah pihak melihat larangan itu
sebagai faktor yang mengecilkan kuasa guru untuk mendisiplinkan pelajar. Malah
larangan itu juga menjadi punca peningkatan masalah disiplin kalangan pelajar. Sebagai
contoh, seorang guru telah digantung tugas selama dua bulan kerana merotan
pelajar yang menghadapi masalah disiplin. Kita boleh melihat bahawa hukuman yang
dikenakan ke atas guru tersebut telah menunjukkan bahawa guru sekarang tidak
boleh berbuat apa-apa untuk mendepani krisis disiplin pelajar. Guru selalu
dipersalahkan apabila graf masalah disiplin pelajar meningkat. Pada masa yang
sama, pihak guru pula menghadapi masalah kerana tidak boleh mengenakan hukuman
keras untuk membendung masalah disiplin.
Bekas Ketua
Pengarah Pelajaran (1976 – 1985) Tan Sri Murad Mohamad Noor pernah mengatakan
bahawa beliau tidak percaya hukuman keras termasuk merotan boleh mendisiplinkan
pelajar. Jadi, beliau pun mengeluarkan arahan supaya hukuman keras dihentikan
dan mendampingi pelajar dengan pendekatan yang lebih mesra. Tetapi
sekarang, beliau menegaskan bahawa keadaan sudah jauh berubah berbanding zaman
di mana hukuman rotan dilaksanakan untuk mendisiplinkan pelajar. Malah
kalau dibenarkan merotan pelajar, sekalipun tidak semua guru merotan untuk
mendidik tetapi melepaskan kemarahan ke atas pelajar. Apa
saja hukuman yang dikenakan ke atas pelajar mestilah menjurus kepada
pendidikan. Sebelum itu, larangan telah diberi adalah untuk
mengelakkan guru-guru diberi penilaian yang baik dan tidak baik oleh
pelajar-pelajarnya. Sebagai contoh, guru ini tidak baik
kerana merotan dan guru itu baik kerana tidak merotan. Kita sebagai guru tentu
tidak mahu diberikan cop yang berlainan oleh pelajar.
Seperti yang
dikatakan oleh Dr. Mohd. Amin Shariff, “biasanya bukan sengaja guru ingin
menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau kedegilan
kanak-kanak sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan
sekolah. Inilah naluri kanak-kanak yang perlu kita faham.” Beliau menjelaskan
bahawa segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah
pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu
dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Kemungkinan
guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti
merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan
fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa.
Mungkin guru berkenaan tidak berniat untuk berbuat demikian hingga perlu
mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam
menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan
terjadi.
Pada
masa lalu, memang terdapat banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik
kepada guru. Jika guru menghukum murid, murid tidak berani mengadu kepada ibu
bapa sebab ibu bapa akan memihak kepada guru. Kini, kebanyakan ibu bapa terdiri daripada
berpelajaran tinggi dan mereka telah mengubah cara keibubapaan daripada
penggunaan kekerasan kepada psikologi. Cara kekerasan pada mereka adalah kuno
dan kolot yang tidak sesuai lagi pada zaman ini. Tetapi hakikatnya, bukanlah
mudah untuk meninggalkan cara kekerasan dalam mendidik pelajar. Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr.
Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai
ditambah dengan pelbagai karenah. Ini telah berbeza dengan murid yang
diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang lalu. Ketika itu, murid lebih
patuh kepada guru dan ia wajar dicontohi. Menurut seorang kaunselor Universiti
Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, sesetengah guru menghukum pelajar dengan
tujuan untuk mendidik kerana kenakalan pelajar berkenaan. “Jangan salahkan guru sahaja kerana ibu
bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak
masing-masing. Ada
juga murid yang berperangai baik di rumah tetapi nakal di sekolah”, tegas beliau.
Mengikut
pandangan Islam terhadap hukuman sebat atau pukul, ia telah wujud sejak dahulu
lagai sama ada di rumah atau di sekolah. Tujuannya adalah untuk memberi
pengajaran atau ajar adab kepada kanak-kanak. Di dalam sebuah hadis, Nabi
s.a.w. bersabda (ertinya): Arahkanlah anak-anak kamu supaya mengerjakan
sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah ketika mereka berusia 10 tahun
(jika enggan sembahyang) dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka. Hal ini
telah menunjukkan bahawa memang ada hukuman pukul di dalam Islam. Para amirul mukminin juga telah
mengizinkan para guru melaksanakan hukuman pukul terhadap kanak-kanak ketika
benar-benar perlu. Hukuman
tersebut hendaklah berdasarkan mahu memberi pengajaran atau ajar adab, bukan kerana
mengikut perasaan individu seperti benci, marah dan sebagainya. Hal ini telah menjelaskan bahawa
Islam tidak membataskan penggunaan rotan atau sebatan sebagaimana akta yang ada
pada sekarang ini sehingga guru-guru tidak memberi adab dengan sewajarnya
kepada para pelajar.Islam juga tidak memperluaskan penggunaan rotan sehingga
guru boleh memukul sesuka hatinya.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa tugas guru pada hari ini berlainan dengan masa
bersekolah dahulu. Pelajar
sekarang lebih bebas dan bukan bermakna diberi kebebasan yang lebih tetapi
sebaliknya dengan sendiri mereka mendapat kebebasan. Misalnya dari
persekitaran, media massa, rakan dan sebagainya. Oleh kerana mereka banyak
menerima nilai-nilai luar dan tidak mahu mematuhi peraturan sekolah, jadi
mereka pun mula melakukan kesalahan untuk melanggar peraturan di sekolah. Antara jenis kesalahan boleh
meliputi ponteng sekolah, mencuri dan bergaduh. Jadi, memang ada banyak faktor yang
menjadikan hukuman merotan ini perlu dilaksanakan semula di sekolah. Faktor masalah disiplin yang melanda
pelajar kita kini begitu meruncing yang menjadikan pelaksanaan hukuman ini
dijadikan satu isu yang penting. Pelajar kita mudah terbabit dalam
kemelut disiplin kerana cabaran kehidupan modern yang begitu hebat seperti ibu
bapa sibuk bekerja dan kehidupan mementingkan status serta kebendaan yang
tinggi pada masa kini. Oleh
itu, tindakan merotan sahaja yang boleh menjadikan cabaran ini berada dalam
kawalan kerana pelajar pasti akan memikirkan kesan merontan terhadap dirinya
sebelum bertindak terburu-buru seseorang.
Pada
masa yang sama, kerja guru di sekolah menjadi lebih mudah jika hukuman keras
ini dilaksanakan dengan segera. Pihak guru mengambil masa yang lama untuk
memberi kaunseling kepada pelajar yang belum tentu akan berjaya pula berbanding
dengan merotan yang mudah dan pantas. Sesungguhnya, kerja guru menjadi lebih
mudah jika hukuman ini dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah, hukuman yang sebegini tegas
boleh memberikan satu pengajaran kepada pelajar secara keseluruhannya. Sesiapa
sahaja yang menyaksikan hukuman ini pasti berasa begitu gerun melihatnya. Jelaslah, hukuman merotan ini
mencetuskan satu keinsafan yang mendalam dalam jiwa pelajar sekolah kita pula. Tambahan pula, imej sekolah yang
berani melaksanakan hukuman merotan juga pasti meningkat pada mata masyarakat. Ibu bapa sudah pasti lebih suka
menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai tahap kualiti disilpin yang
tinggi kerana tidak mahu anak mereka terabit dalam gejala negatif. Maka, imej sekolah pasti bertambah
baik melalui pengenalan hukuman merotan ini.
Bagi
mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin, terdapat sebilangan
orang yang mencadangkan bahawa dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal
punishment.Tambahan pula, semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar.
Bagi mereka, hukuman merotan tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan
dengan cara yang betul. Tetapi, buat masa ini hanya pengetua atau guru yang
diberikan kuasa barulah boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat
tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu. Namun demikian,
ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk
itu ingin dihidupkan semula. Menurut
mereka, keadaan dan zaman telah banyak berubah.Hukuman rotan boleh menimbulkan
banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.
Dari sudut psikologi, emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila mereka bersua dengan guru yang merotan mereka. Perkara yang lebih bahaya akan menimbulkan perasaan dendam pelajar terhadap guru dan sekolah.
Dari sudut psikologi, emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila mereka bersua dengan guru yang merotan mereka. Perkara yang lebih bahaya akan menimbulkan perasaan dendam pelajar terhadap guru dan sekolah.
Kerap
kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci
pelajar kepada sekolah. Walaupun tujuan hukuman merotan adalah murni iaitu
untuk mendisiplinkan pelajar tetapiia juga boleh memberi kesan sebaliknya. Jika
ia menjadi lebih parah,kemungkinan boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan
merosakkan harta benda sekolah. Sesungguhnya, untuk menangani salah laku
pelajar, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui
Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b)
di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau
di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. Hukuman rotan semata-mata bertujuan
mendidik dan perlu dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran
merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk,
mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Berbeza di negara maju di mana
terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi
pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk
tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal. Hal ini bermakna pelajar tidak
boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau
pentadbir sekolah. Mereka
ada kaedah yang tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui
sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya
dalam sistem pendidikan kita, kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah
lama dipraktikkan. Setiap
sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas
Bil.1/1985, Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi
peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat
perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional
dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak
mengulangi lagi perbuatan tersebut. Hakikatnya, guru perlu berhati-hati ketika
merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa
di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis. Mereka boleh didakwa mengikut
Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda
tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Memang
tidak dinafikan bahawa hukuman merotan mendatangkan kebaikan dan keburukan. Hukuman
rotan merupakan cara yang efektif untuk menanamkan sikap disiplin di dalam diri
murid-murid, lebih-lebih lagi terhadap murid yang degil dan melakukan kesalahan
berulang-ulang kali dan juga mereka yang melakukan kesalahan serius seperti
membuli, menghisap rokok, mencuri dan sebagainya. Oleh itu, dengan mengenakan
hukuman rotan, murid-murid ini akan dipupuk dengan sikap disiplin di dalam diri
mereka dan mereka tidak akan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan
sekolah. Selain itu,hukuman rotan adalah langkah pencegahan 'deterrent' yang
efektif untuk murid-murid lain. Hal ini kerana apabila murid itu dirotan sambil
disaksikan oleh murid-murid yang lain, mereka akan merenung dan melakukan
muhasabah diri. Oleh itu, dengan adanya keinsafan dalam diri murid-murid,
mereka tidak akan melanggar peraturan sekolah dan ini dapat mengurangkan kes
disiplin di sekolah. Seperti bak kata pepatah ‘pencegahan itu lebih baik dari
rawatan’.
Di
samping itu, merotan dapat memperbaiki akhlak para pelajar yang bermasalah.
Hukuman merotan tidak akan dilaksanakan sekiranya pelajar itu malakukan
kesalahan pertama tetapi pelajar tersebut perlulah diberi amaran terlebih
dahulu. Hukuman ini dijalankan sekiranya pelajar tersebut tidak mengendahkan
amaran pertama dan amaran kedua. Pesalah yang tidak menghiraukan
teguran oleh guru disiplin ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’. Dengan begitu, pelajar yang menerima
hukuman ini dapat membentuk disiplin diri. Mereka juga dapat mengambil iktibar
dari hukuman yang diterima. Oleh
itu, jelaslah di sini merotan dapat memperbaiki akhlak para pelajar disamping
memberi satu pengajaran yang dapat diterap dalam diri setiap pelajar yang
melakukan salah. Selain
itu,merotan dapat melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi akademik dan
sahsiah.
Hal ini kerana para pelajar tidak
lagi berani mengulangi kesalahan yang dilakukan. Seterusnya, para pelajar juga
akan lebih serius dan komited dalam menuntut ilmu pengetahuan. Negara kita
memerlukan pemangkin masa hadapan yang telus dan berwibawa. Oleh yang demikian negara dapat
melahirkan pemimpin yang berkualiti dan berfikiran rasional untuk membangunkan negara
kita Malaysia. Justeru
itu, adalah baiknya kita mengubah setiap individu sebelum mereka merubah
sesuatu yang tidak terlintas di fikiran.
Walaubagaimanapun,
hukuman rotan juga mendatangkan keburukan. Ia akan menyebabkan pelajar yang
disebat atau dirotan berasa trauma dan fobia. Hal ini kerana, sebelum mereka
dirotan, mereka akan berasa takut. Oleh yang demikian, keseimbangan emosi
mereka akan tergugat dan mereka akan mengalami gangguan emosi yang dahsyat
apabila mereka disebat. Mereka juga mungkin akan kehilangan keyakinan diri dan
berasa malu dan segan untuk berinteraksi dengan rakan-rakan mereka selepas
mereka disebat di khalayak ramai. Seperti bak kata pepatah' mencontengkan
arang di muka sendiri'. Hukuman
rotan boleh dianggap sebagai satu hukuman yang tidak berperikemanusiaan. Hal
ini kerana hukuman rotan akan menyebabkan kecederaan fizikal kepada murid yang
dirotan. Kecederaan yang dialami mereka adalah luka pada bahagian yang dirotan
malah mungkin juga pada tulang belakang jikalau hukuman itu tidak dijalankan
dengan sempurna dan berhati-hati. Bukan itu sahaja, malah murid-murid yang
disebat akan dipinggirkan atau dipulaukan oleh rakan-rakan mereka kerana takut
jikalau diapa-apakan. Hukuman
rotan juga boleh dikira sebagai hukuman yang mengaibkan pelajar tersebut dan
tiada siapa yang ingin berkawan dengan mereka. Akibatnya, mereka akan berhenti dan
tercicir dari sekolah. Dengan ramainya kadar murid-murid yang berhenti sekolah,
maka meningkatlah kadar keciciran pelajar di sekolah. Ini menyebabkan masalah
kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan murid tersebut. Akhirnya, dalam
keghairahan sekolah memupuk disiplin dalam kalangan pelajar, kadar keciciran
meningkat dengan drastik.
Selain
itu, merotan boleh menimbulkan perasaan ketidakpuasan hati dalam diri pelajar
yang terbabit. Hal ini menyebabkan pelajar tersebutakan memikirkan cara untuk
memuaskan hati mereka dengan mengadu hal ini kepada orang yang terdekat. Pada
kebiasaannya, pelajar akan meluahkan ketidakpuasan dengan tindakan guru
terhadap ibu bapa bagi mendapatkan pembelaan. Setakat yang saya tahu, tidak ada
ibu bapa yang sanggup melihat kekecewaan yang ditanggung oleh anak-anak mereka
akibat dari hukuman tersebut. Malah, ibu bapa akan menyalahkan pihak yang telah
menjatuhkan hukuman terhadap anak emas mereka. Hal ini pun menjejaskan hubungan
silaturahim antara guru dan ibu bapa. Malah, mereka sering bermusuhan. Jelaslah di sini bahawa salah satu
keburukan yang dapat menimbulkan rasa ketidakpuasan hati pelajar apabila
menerima hukuman. Keburukan
daripada merotan boleh menyebabkan para pelajar tersebut berasa bosan
seandainya guru yang merotannya mengajar di dalam kelas. Sikap tidak
bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu juga akan wujud dalam diri pelajar
tersebut. Pelajar tersebut tidak akn menyiapkan kerja sekolah yang diberikan
oleh guru yang merotannya. Contohnya, pelajar-pelajar tidak akan membantu guru
yang meminta pertolongan. Sikap suka memberontak dalam kalangan pelajar akan
wujud secara semulajadi.
Walaupun
niat merotan itu adalah murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh
mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara
berlebihan. Justeru
semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan
berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu
terlibat dalam menangani permasalahan tersebut. Keprihatinan semua pihak terhadap
salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di
kalangan remaja di masa akan datang.
No comments:
Post a Comment